PENDUDUK BERHAK PERTAHANKAN RUMAH DAN HARTA
Jul 17th, 2006 by Tian
SENTUL, 11 Jun – Penduduk kampung berhak untuk mempertahankan rumah dan harta benda mereka sendiri sekiranya pihak berkuasa datang merobohkan rumah.
Naib Presiden KeADILan Sivarasa Rasiah berkata sedemikian setelah mendengar rintihan penduduk dalam satu perjumpaan dengan peneroka bandar yang mengalami masalah pengusiran dari rumah mereka.
Katanya, penduduk berhak membuat demikian tidak kira memiliki geran tanah ataupun tidak.
Walau bagaimanapun, menurut Sivarasa selaku peguam, kawasan yang tiada geran adalah agak susah untuk lawan dalam mahkamah.
“Penduduk perlu ada perpaduan yang kuat untuk melawan di luar mahkamah. Kependudukan atas tanah memberi kekuatan kepada penduduk untuk berunding dengan pihak yang berkenaan.â€
“Namun sekiranya penduduk berpindah dari kampung asal, kuasa berunding menjadi lemah,†jelas Sivarasa.
Kebanyakan penduduk hadir dalam perjumpaan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Batu ini adalah terjejas oleh Projek Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE). Mereka adalah penduduk Kampung Chubadak, Kampung Puah Seberang, Kampung Chempedak dan Kampung Retnam Pillai.
Sivarasa menyeru penduduk memberi mesej yang jelas kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia bahawa penduduk tidak akan berundur selagi tiada perundingan.
Bagi penduduk kampung yang mempunyai geran, tambahnya, kerajaan akan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil tanah.
“Dalam konteks ini, penduduk hanya boleh mempertikaikan soal pampasan tetapi bukan pengambilan tanah. Penduduk pada akhirnya perlu pindah dari tanah tersebut juga setelah prosedur pampasan telah diselesaikan.â€
Tegasnya, dalam kedua-dua situasi ini, penduduk kampung tetap berhak mempertahankan kampung halaman sekiranya pihak berkuasa merobohkan rumah.
Ketua Bahagian Batu, Tian Chua yang turut hadir mencadangkan satu jawatankuasa yang menggabungkan semua kampung dalam kawasan projek ditubuhkan untuk memperjuangkan hak kediaman mereka.
“Projek Lebuhraya DUKE bukan sahaja melibatkan pengambilan tanah-tanah tetapi juga menyebabkan kualiti hidup penduduk kawasan Batu menurun kerana penduduk-penduduk akan dibebankan dengan tol,†jelasnya.
Terlebih dahulu, Encik Roslan dari Kampung Chubadak Asal berkata bahawa sebanyak 29 lot tanah yang mempunyai geran terlibat dalam projek Lebuhraya DUKE.
DBKL telah memberi notis bahawa kedai akan dirobohkan pada 15 Jun 2006. Penduduk kini dalam proses permohonan untuk mendapatkan injunksi bagi menghalang proses perobohan sementara menunggu mahkamah untuk menentukan status tanah, iaitu sama ada tanah-tanah terlibat milikan kerajaan atau persendirian.
“Rumah panjang kami telah dirobohkan pada 1 Jun 2006 tanpa sebarang notis†kata Pak Daud, wakil dari Kampung Puah Seberang.
Kini terdapat 13 keluarga yang mendirikan khemah di atas tapak tersebut dan menuntut pampasan yang sewajarnya.