Boycott Declaration
Jan 11th, 2007 by Tian
The following is the joint statement of boycott read out by Dr Nasharuddin Mat Isa, Deputy President of PAS. A rally was held in Kg Sega in the night of 10 January, attended by more than 1000 people.
The statement in Malay:
KENYATAAN RASMI PEMBOIKOTAN PILIHANRAYA DUN 06 BATU TALAM
Pilihanraya bersih dan bebas merupakan satu asas utama dalam sebuah demokrasi yang sihat dan wibawa. Sistem pilihanraya adalah mekanisme asas untuk memberikan keabsahan dan mandat kepada kerajaan yang memerintah.
Kebebasan ini memberi ruang kepada pengundi untuk menunaikan hak asasi mereka dalam proses politik bagi menentukan calon-calon mereka dalam memilih kerajaan yang mereka kehendakki.
Berpandukan kepada pengalaman pahit dalam beberapa pilihanraya yang lalu dan khasnya Pilihanraya Umum ke-11, sesungguhnya kami meyakini bahawa pilihanraya yang telah dijalankan adalah sarat dengan penipuan, penyelewengan dan pembohongan yang sekaligus menjejaskan kredibiliti dan maruah kerajaan yang memerintah. Serentak dengan itu, rakyat semakin resah dan bosan dengan ketempangan dan kecurangan proses demokrasi ini, yang kini dilihat adalah jauh dari memberikan keadilan dan persaingan serta pertandingan di padang yang sama-rata.
Kami senaraikan antara kepincangan dan ketempangan yang berlaku:
i. Daftar Pemilih yang tidak tepat dan diragui.
ii. Pengundi Pos yang sering disalahgunakan bagi kepentingan kerajaan BN.
iii. Proses penjalanan pilihanraya yang tidak telus, prejudis dan bersifat berat-sebelah.
iv. Sikap dan pendirian Pengerusi SPR yang tidak konsisten dan memihak kepada kerajaan BN.
v. Tindakan SPR dalam pengendalian persempadanan yang tidak mengikut semangat dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan bersifat tidak adil.
vi. Sikap SPR yang rela diperkudakan oleh parti pemerintah sehingga menjejaskan maruah dan wibawa SPR sebagai Suruhanjaya bebas yang seharusnya memelihara proses pilihanraya.
Berlatarbelakangkan kesemua fakta yang digariskan di atas, maka kami meyakini pilihanraya kecil DUN 06 Batu Talam akan menyaksikan berulangnya penyelewengan yang merosakkan kesucian (sanctity) proses demokrasi. Kenyataan Pengerusi SPR yang menyebut bahawa daftar pemilih yang telah diwartakan pada 30 November 2006, berjumlah 10,748 telah dibersihkan menjadi 10,524 selepas daripada perwartaan itu kini menimbulkan kecurigaan. Proses pembersihan tersebut tidak boleh dikatakan telah dijalankan secara telus kerana ianya dilakukan secara unilateral oleh SPR tanpa penyertaan parti-parti politik yang mengambil bahagian dalam pilihanraya.
Segala kecurigaan kami telah disahkan melalui kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi SPR yang mengatakan â€undang-undang dan peraturan pilihanraya yang telah berusia 50 tahun itu tidak lagi sesuai digunakan pada masa ini dan tidak lagi memberi ruang kepada SPR untuk menjamin keadilan terus wujud bagi semua pihak memandangkan sosial yang telah berubah†(BERNAMA 8 Jan 07).
Dengan ini, kami pimpinan BA, menegaskan pendirian untuk menolak dan memboikot penyertaan dalam pilihanraya kecil bagi DUN 06 Batu Talam.
Tandatangan,
Datuk Seri Tuan Guru Hadi Awang
(Presiden PAS)
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
(Presiden Parti Keadilan Rakyat)
10 Januari 2007.
